(Video)ISU PERKAHWINAN KEMBAR SIAM: Bagaimana Jika Salah Seorang Daripada Kembar Siam Ingin Berkahwin?


(Video)ISU PERKAHWINAN KEMBAR SIAM: Bagaimana Jika Salah Seorang Daripada Kembar Siam Ingin Berkahwin?






Soalan:
Apakah hukum seseorang itu berkahwin dengan kembar siam? Mohon penjelasan.

Jawapan:Sebelum dibincangkan hukum bagi isu ini, dibentangkan terlebih dahulu takrifan berkenaan perkahwinan.


Definisi Nikah

‘Nikah’ atau juga dikenali sebagai kahwin menurut bahasa ialah bertemu, berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ‘Ijab dan Qabul’ (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.





Dalil dan Hujah

Allah SWT berfirman:
فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَٰثَ وَرُبَٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟
Maksudnya: Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil diantara (isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja..."
(Surah An-Nisa': 30)

Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia, yang bererti sifat pembawaan manusia sebagai makhluk Allah SWT. Setiap manusia yang sudah dewasa, sihat fizikal serta rohaninya, pasti memerlukan teman hidup yang berlainan jenis. Teman hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi yang boleh dicintai dan mencintai, dapat mengasihi dan dikasihi, boleh diajak bekerja sama untuk mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan hidup berumah tangga.




Rasulullah ﷺ bersabda:
يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Berkahwin

Hukum ini terbahagi kepada 5 bahagian iaitu:-

• WAJIB
Sekiranya seseorang itu mempunyai keupayaan dari segi kewangan untuk membayar“mahar”(maskahwin) dan mampu menyediakan nafkah isteri zahir dan batin. Beliau juga tidak berniat untk menganiya isterinya selama berumah tangga. Di samping itu, beliau juga yakin akan terdorong melakukan maksiat (zina) di sebabkan runtunan nafsu yang kuat jika tidak berkahwin.

• SUNAT
Kepada orang yang mampu, tetapi mampu mengawal dirinya daripada terjatuh ke lembah maksiat. Ini adalah hukum asal perkahwinan.

• HARUS
Bagi seseorang yang yakin tidak akan melakukan zina jika tidak berkahwin serta mampu.

• MAKRUH
Apabila seseorang itu bimbang jika dia berkahwin akan menzalimi isterinya. Di samping itu, dia mempunyai kelemahan fizikal yang tidak mampu memberikan nafkah batin kepada isterinya walaupun dari segi kewangan beliau mampu dan hukum makruh juga berlaku apabila berkahwin sewaktu negara sedang menghadapi peperangan.

• HARAM
Bagi seseorang yang tidak dapat menunaikan kewajipan-kewajipan terhadap isterinya zahir dan batin dan mempunyai keyakinan akan menganiaya.
Bagi menjawab persoalan berkenaan kahwin dengan kembar siam, maka dibentangkan terlebih takrifan mengenai kembar siam yang perlu difahami terlebih dahulu pembahagian kembar siam.

Definisi Kembar Siam

Menurut istilah perubatan, kembar siam adalah kembar monozigot yang badannya dihimpunkan bersama semasa mengandung. Ini berlaku apabila zigot yang mula berpisah selepas 12 hari diikuti persenyawaan dan gagal memisah sepenuhnya. Keadaan ini berlaku kira-kira 1 dalam 50,000 kehamilan manusia.

Kebanyakan kembar siam kini dinilai dengan pembedahan cuba untuk memisahkan mereka ke dalam badan berfungsi berasingan. Tahap kesukaran meningkat jika organ atau struktur penting dikongsi antara kembar, seperti otak, jantung atau hati. Yang mampu bertahan hidup berkisar antara 5% dan 25%, dan kebanyakan (75%) berjantina perempuan. Kejadian kembar siam banyak dilaporkan di Asia Tenggara dan Afrika.

Sejarah Kembar Siam

Pada zaman Sayyidina Umar bn Khatthab lahir seorang bayi perempuan yang mempunyai dua kaki, dua kemaluan, dua badan, empat tangan dan dua kepala yang utuh. Pada waktu itu, salah satu dari badan tersebut, meminta untuk dikahwinkan, sementara badan yang kedua tidak meminta, perkara tersebut diangkat kepada Amirul Mukminin Umar bin Khatthab, maka beliau telah mengumpulkan para Sahabatnya untuk menyelesaikan isu ini. Namun, pada akhirnya mereka tidak sanggup memutuskannya. Sayyidina Umar pun bertanya kepada Sayyidina Ali RA tentang hal ini.

Sayyidina Ali RA berkata:"Tinggalkan kembar siam ini selama tiga hari". Setelah tiga hari berlalu, pasangan kembar siam yang berhajat untuk kahwin telah mati. Maka sayyidina Umar memutuskan untuk memotong badan kembar siam yang telah mati. Badan yang masih hidup menolak dan berkata 

:"Apakah kalian ingin membunuh aku". Sayyidina Umar pun kebingungan. Beliau menyerahkan kembali hal ini kepada Sayyidina Ali RA seraya berkata :"Tinggalkan badan kembar siam ini selama tiga hari". Setelah tiga hari berlalu, maka badan kembar siam satu lagi turut mati dan selesailah masalah tersebut.

Menurut perspektif Fiqh, situasi kembar siam boleh dilihat daripada sudut yang berikut:

• Dikira 2 individu: Jika memiliki 2 kepala dan anggota tubuh yang lengkap atau tidak, serta masing-masing memiliki jiwa yang bertindak balas antara satu sama lain, contohnya seorang tidur dan seorang lain terjaga.

• Dikira 1 individu: Selain daripada yang dinyatakan di atas.



Pandangan Ulama Silam & Kontemporari

Terdapat beberapa pandangan para ulama silam dan kontemporari tentang isu ini. Antaranya:


Menurut Imam al-Khatib dalam Hasyiah Al-Bujairimi, pernikahan dengan kembar siam adalah sah. Jika salah seorang daripada keduanya (kembar siam) berkahwin sama ada kembar siam itu kedua-duanya lelaki atau perempuan atau berlainan jenis.

Tetap wajib semampunya menjaga dari bersentuhan, melihat dan menutup auratnya bagi orang yang bukan pasangannya.

Dalam kitab Qalyubi Wa Umairah, jika kedua-dua kembar dan anggota setiapnya sempurna termasuklah faraj, maka dia dihukumkan sebagai 2 individu dari segi hukum begitulah juga jika salah seorang daripadanya ingin berkahwin sama ada kedua-duanya itu kembar siam lelaki atau perempuan.

Prof. Abdullah bin Muhammad bin Ahmad al-Tayyar, beliau lebih berpandangan golongan yang mengalami masalah kembar siam tidak diharuskan untuk berkahwin atas keuzuran yang teruk ke diri mereka.

Pernikahan seumpama ini lebih banyak mendatangkan mudarat dari sudut pergerakan, aurat suami isteri serta nasab anak yang bakal dilahirkan.

Menurut Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah al-Azhar berpandangan nikah kembar seumpama ini adalah tidak diharuskan pernikahan golongan ini mengundang perkara lain yang diharamkan ke atas salah satu daripadanya.

Namun, Dar al-Ifta’ Mesir memberikan pandangan yang berbeza apabila mengatakan pernikahan kembar siam adalah diharuskan apabila ia memenuhi rukun dan syarat pernikahan.

Ini kerana setiap kembar itu memiliki roh yang beransingan dan tidak langsung merosakkan akad nikah yang dilakukan.

Tarjih

Setelah membentangkan pandangan-pandangan ulama bagi isu ini, kami lebih cenderung mengatakan kembar siam lebih utama tidak diharuskan untuk berkahwin sekiranya tidak dapat dipisahkan, atas keuzuran yang teruk ke atas diri mereka. Pandangan ini dibina atas asas-asas yang berikut:

Perkahwinan merupakan satu ikatan yang membawa kepada hubungan intim antara suami dan isteri maka perkara ini mengundangkan kepada pendedahan aurat yang tidak dapat dielakkan.

Suami atau isteri yang mengalami kecacatan ini tidak akan dapat menjalankan tugasannya sebagai suami atau isteri dengan sempurna akibat keuzuran ini.

Jika pasangan kembar ini kedua-duanya lelaki atau perempuan, maka ia akan mengundang ketidakpastian daripada nasab anak yang bakal dilahirkan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa agar dikurniakan zuriat yang sempurna serta soleh dan solehah agar menjadikan penyejuk mata kepada ibu bapa seterusnya menyumbang manfaat kepad agama, bangsa dan negara.

Video: